Tuesday, August 28, 2018

BERHENTILAH TAKLID PADA ULAMA KETAHILAH BERKETURUNAN NABI BUKAN JAMINAN PASTI MASUK SYURGA DAN TERLEPAS DARIPADA AZAB ALLAH



Kata mereka ...Mana mungkin keturunan Nabi buat salah.
Sikap ghuluw taklid buta seakan kebenaran di ukur hanya keturunan Nabi, bukanlah tiket untuk bebas mengubah syariat Islam.
-------------
Tak ada gunanya mengaku keturunan Nabi sekiranya AKHLAK saja seperti Nabi tapi AKIDAH tidak sebenar dan selurus Nabi serta IBADAH tidak ikut cara Nabi dengan bangganya berkata kami cinta Nabi
Tak uhahnya seperti Abu Talib yang senang mempertahankan Nabi tapi tidak mengikuti agama yang dibawa oleh Nabi...Juga seperti Abdullah Bin Ubai Bin Salun yg berpura2 mencintai Nabi tapi sentiasa merancang untuk menjatuhkan Nabi...
Keturunan bukan jaminan kemuliaan dan keselamatan di sisi Allah. Siapa pun dia, sama ada dia raja, presiden, ulama, pengaku keturunan Nabi. semua itu harus tunduk dan patuh kepada hukum Allah.
Jika mereka melakukan syirik, bid'ah dan maksiat, pangkat dan keturunan mereka tidak akan dapat melepaskan mereka sedikit pun daripada azab Allah.
Benar atau tidak suatu amalan diukur berdasarkan al-Qur'an dan Sunnah sahih, bukan dakwaan berketurunan Nabi semata-mata..
Islam tidak mengajar kita ghuluw keterlaluan dalam memuliakan keturunan seseorang.
Ayat al-Quran telah menetapkan bahawa taqwa adalah ukuran kemuliaan seorang hamba di sisiNya, bukan keturunan.
PERTAMA:
Darjat kemuliaan seseorang di sisi Allah diukur berdasarkan taqwa dan amalnya, bukan keturunannya. Firman Allah s.w.t:
“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu." (Surah Al-Hujurat ayat 13)
“Dan bagi masing-masing darjat (mereka) menurut apa yang telah mereka amalkan.” (Surah Al-An’am ayat 132)
Sabda Rasulullah s.a.w:
"Barang siapa yang lambat amalannya, maka kemuliaan keturunannya tidak boleh mempercepatkannya.” (Sahih Muslim, no. 2699)
KEDUA:
Rasulullah s.a.w sendiri tidak dapat menjamin keselamatan kaum kerabatnya di sisi Allah s.w.t. Sabda Rasulullah kepada anaknya, Fatimah r.a:
“Wahai Fatimah puteri Muhammad, mintalah padaku apa yang engkau mahu dari hartaku (akan tetapi) sesungguhnya aku tidak dapat menolongmu sedikit pun dari Allah.” (Sahih al-Bukhari, no. 2753 dan Sahih Muslim, no. 206)
KETIGA:
Masuknya seseorang hamba ke dalam syurga adalah disebabkan pahala amalannya, bukan kerana kemuliaan keturunannya. Firman Allah s.w.t:
“Masuklah kamu ke dalam syurga itu disebabkan apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah An-Nahl ayat 32)
“Dan itulah syurga yang diwariskan kepada kamu disebabkan amal-amal yang dahulu kamu kerjakan.” (Surah Az-Zukhruf ayat 72)
KEEMPAT:
Pada hari kiamat kelak, nasab atau keturunan antara manusia akan terputus. Firman Allah s.w.t:
“Apabila sangkakala ditiup maka tidaklah ada lagi pertalian nasab di antara mereka pada hari itu, dan tidak ada pula mereka saling bertanya.” (Surah Al-Mu’minun ayat 101)
KELIMA:
Larangan Allah kepada para Nabi daripada mendoakan keampunan untuk kaum kerabat mereka yang mati dalam menyekutukan atau mensyirikkan Allah. FirmanNya:
“Tidaklah patut bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam.” (Surah At-Taubah ayat 113)
KEENAM:
Lupakah kalian, bahawa yang menentang para Rasul Allah juga terdiri daripada kerabat terdekat para Rasul itu sendiri? Apakah kesemua para penentang itu selamat dan mendapat kemuliaan daripada Allah disebabkan oleh nasab atau keturunan mereka?
Beberapa kisah dalam al-Quran tentang kekafiran sebahagian kaum kerabat atau keturunan para nabi yang mendapat azab Allah s.w.t:
1) Kekafiran dan azab yang diterima oleh anak Nabi Nuh a.s dalam surah Hud ayat 44-46.
2) Kekafiran dan azab yang diterima oleh Azar, ayah Nabi Ibrahim dalam surah At-Taubah ayat 114.
3) Kekafiran dan azab yang diterima oleh isteri Nabi Luth a.s dalam surah Al-A'raf ayat 83.
Oleh itu sesiapa pun di dunia ini tetap tunduk kepada hukum-hakam Allah. Ini termasuklah mereka yang mengaku berketurunan Nabi. Jika mereka berbuat dosa, pastilah balasan buruk yang bakal diterima oleh mereka. Demikian sebaliknya, mereka akan mendapat nikmat keamanan dan kebahagiaan daripada Allah sekiranya mereka berbuat baik di dunia.
Hakikatnya mereka juga adalah manusia biasa, yang ada nafsu dan kecenderungan untuk berbuat salah. Mereka bukanlah Rasul yang dijanjikan maksum oleh Allah, bukan juga malaikat yang suci daripada dosa.
Perkara wajib yang perlu dilihat, kebenaran bukan diukur atas keturunan. Tetapi kebenaran itu diukur melalui Al-Quran serta As-Sunnah dan beramal dengan amalan soleh yang shahih dari sumber agama yang asal. Berapa ramai kalangan ahlul bait yang duduk dalam kalangan sufi, salafi bahkan syiah pun ramai dari kalangan ahlul bait dan tiada ukuran yang lebih baik melainkan neraca petunjuk Allah (Al-Quran) dan Rasul (As-Sunnah)
Hati-hati dalam menerima amalan yang disandarkan pada Islam. Tolaklah ia jika jelas menyelisihi al-Qur'an dan as-Sunnah sahihah, meskipun yang menyampaikannya MENGAKU keturunan Nabi.

No comments:

Post a Comment

NOTES :
- Harap bekomentar sesuai dengan judul postingan
- Tidak diperbolehkan mempromosikan barang atau berjualan
- Bagi yang berkomentar menyertakan link dianggap spam

==> SELAMAT BERKOMENTAR .... :D